Tip Makanan Sihat Di bulan Ramadan / Puasa

September 14, 2015 |

Panduan dan tip pemakanan sihat di bulan puasa / Ramadan. Berpuasa, terutama semasa cuaca panas, boleh menyebabkan dehidrasi dan kelesuan. Pastikan anda berada di dalam rumah atau di bawah naungan semasa panas terik dan hadkan aktiviti fizikal untuk sejukkan badan. Ini akan menjimatkan tenaga anda dan membuat anda lebih selesa.

Dari segi pemakanan, pastikan anda banyak minum air kosong selepas berbuka puasa (iftar) dan dalam tempoh sehingga bersahur, untuk memastikan tubuh sentiasa terhidrat. Amalkan pemakanan sihat, pilihlah memilih makanan yang berkhasiat dan menyihatkan.


Tip Pemakanan Sihat Sepanjang Bulan Puasa

Berikut adalah beberapa tip pemakanan (diet) sihat sempena bulan puasa. Ia boleh dijadikan panduan dalam memilih atau menyediakan menu yang sihat untuk juadah berbuka puasa dan sahur.

  • Jus buah sitrus (limau, oren, lemon) adalah pelengkap yang baik kepada juadah berbuka puasa. Jus sitrus kaya dengan vitamin C, memulihkan tubuh selepas berpuasa sepanjang hari.

  • Ada sebab kenapa buah kurma merupakan sebahagian daripada makanan "ruji" berbuka puasa di bulan Ramadan: ia menawarkan pelbagai nutrien seperti serat, vitamin B6, Kalium, Mangan, Magnesium dan Kuprum. Mereka menyediakan nutrien yang diperlukan oleh badan yang tidak boleh didapati sepanjang tempoh berpuasa.

    menu sihat berbuka puasa iftar

  • Jangan makan makanan berat dan bergoreng terlalu banyak semasa iftar, kerana ia boleh menyebabkan perut meragam dan menambah berat badan. Sebaliknya, pilihlah hidangan yang dikukus, panggang, atau bakar. Pastikan anda makan makanan yang seimbang, yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak yang baik. Ia mengenyangkan, serta berkhasiat.

  • Kuih-muih merupakan sebahagian penting daripada makan berbuka puasa. Walau bagaimanapun, jangan makan terlalu banyak kerana ia boleh menyebabkan pertambahan berat badan. Sebaliknya, gantikan kuih-muih dengan pencuci mulut yang lebih menyihatkan, seperti buah-buahan segar atau kering, dan kekacang.

  • Untuk sahur, makan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, protein dan serat, kerana ia akan membuat anda merasa kenyang lebih lama, dan membekalkan tenaga yang tubuh anda perlukan dalam jangka masa yang lebih lama.

Semoga tip-tip pemakanan di bulan puasa di atas dapat sedikit sebanyak membantu anda kekal sihat dan ceria sepanjang Ramadan ini.
Arkib
Click to go to top