Adab Ziarah Pesakit Menurut Islam

September 14, 2015 |

Menziarahi atau melawat orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Amalan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga dan sesama muslim.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa." (Riwayat at-Tirmizi)

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)


Adab Menziarahi Orang Sakit Menurut Islam

Berikut adalah amalan-amalan yang digalakkan bila melawat pesakit:

  • Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  • Digalakkan membawa buah tangan yang bersesuaian.
  • Membersihkan tangan sebelum bersalam dengan pesakit.
  • Disunatkan duduk berdekatan dengan kepala pesakit bagi memudahkan komunikasi.
  • Mendoakan pesakit agar cepat sembuh.
  • Memberi kata-kata semangat kepada dan menggembirakan pesakit.
  • Keluar dari bilik sekiranya doktor atau jururawat memeriksa keadaan pesakit.
  • Sesuaikan waktu ziarah dan pendekkan masa lawatan agar pesakit dapat berehat.
  • Mengetahui keadaan sebenar pesakit, sama ada dia mempunyai harapan untuk sembuh, kritikal atau sekadar sakit biasa.
  • Perlahankan nada dering telefon bimbit atau menukar ke dalam mod diam atau getaran.

Berikut adalah amalan-amalan yang perlu dielakkan bila melawat pesakit:

  • Menangis di depan pesakit.
  • Duduk di atas katil pesakit.
  • Memakai minyak wangi yang terlalu kuat baunya.
  • Merokok sebelum atau ketika anda melawat pesakit.
  • Bercakap terlalu kuat.
  • Bercakap dan melawat terlalu lama.
  • Bercerita mengenai orang lain yang meninggal dunia disebabkan penyakit yang sama. Ini akan melemahkan semangat pesakit.
  • Memakan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya.
  • Jika kehadiran anda membuatkan pesakit lebih tertekan, sebaik-baiknya tunggu sehingga keadaannya lebih stabil.
  • Elak menziarahi pesakit sekiranya anda tidak sihat.


Doa Menziarahi Pesakit

Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar pesakit cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan, antaranya;

◉ Doa 1

"Ya Allah, Rabbnya manusia, hilangkanlah penderitaannya, sembuhkanlah karena Engkau yang Maha Penyembuh, tiada kesembuhan-Mu, dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan sakit." (Riwayat AI-Bukhari & Muslim)

◉ Doa 2

"Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, In shaa Allah." (Riwayat al-Bukhari)


Menziarahi Pesakit Yang Kritikal Atau Tenat

  • Patuhi semua adab yang telah disenaraikan.
  • Tunjukkan rasa simpati, tetapi jangan menangis di hadapan pesakit atau ahli keluarganya.
  • Berdoa secara terbuka tetapi mesti dilakukan dengan nada perlahan:

    "Ya Allah, berikan dia kehidupan jika kehidupan itu lebih baik kepadanya, dan berilah dia kematian jika kematian itu lebih baik kepadanya"

  • Jika ruang mengizinkan, hadiahkan bacaan al-Quran atau Surah Yaasin.

    Sabda Rasulullah SAW:

    "Bacalah Yaasin ke atas orang yang nazak (hampir mati)." (Riwayat Abu Daud)

  • Sunat menitiskan air ke dalam mulut pesakit jika ternyata pesakit dalam keadaan dahaga.
  • Sunat membisikkan kalimah syahadah ke telinga pesakit dengan lembut.

    Sabda Rasulullah SAW:

    "Ajarlah orang-orang yang hampir mati itu dengan ucapan "La ilaha illallah" (tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah)." (Riwayat Abu Daud)

Sumber: Risalah dari Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Arkib
Click to go to top