Cara Selamat Menggunakan Eskalator

January 28, 2017 | |  1 comments

Langkah-langkah keselamatan ketika menggunakan / menaiki eskalator (tangga bergerak), sekalipun nampak seperti remeh, perlu diberi perhatian oleh banyak pihak. Ini kerana telah banyak berlaku kemalangan eskalator, terutama yang melibatkan kanak-kanak dan orang tua.

Berikut adalah beberapa tips keselamatan yang boleh dipraktikkan semasa menggunakan tangga bergerak (eskalator) dan juga laluan pejalan kaki bergerak (walkalator) untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.


Panduan Keselamatan Penggunaan Eskalator

Panduan Am Penggunaan Eskalator

  • Jangan gunakan eskalator yang sedang berhenti (tidak beroperasi).
  • Gunakan lif sekiranya anda membawa kereta sorong bayi atau bagasi, bertongkat, berkerusi roda, berskuter elektrik, kerana kemalangan boleh berlaku sekiranya menggunakan eskalator.
  • Sebolehnya pakai kasut tertutup yang bertapak keras. Jangan naiki eskalator sekiranya anda memakai kasut atau selipar yang diperbuat dari getah lembut, contohnya kasut Crocs, selipar jepun.
  • Jangan benarkan anak-anak menaiki eskalator secara bersendirian.


Semasa Memasuki Eskalator

  • Lihat arah pergerakan tangga dan berhati-hati semasa melangkah masuk.
  • Berhati-hati jika anda memakai dwifokus (bifocals).
  • Pegang kuat anak, tangan anak atau barangan dengan satu tangan, dan satu tangan lagi hendaklah memegang susur tangan (handrail).
  • Pegang susur tangan bila anda mula naik ke eskalator.
  • Jangan melangkah masuk ke eskalator dari arah yang bertentangan.
  • Setiap kali melangkah, perhatikan tali kasut atau pakaian yang labuh agar tidak terperangkap di antara alur eskalator.
  • Mendukung kanak-kanak kecil adalah lebih baik daripada membiarkan mereka menaiki sendiri eskalator.

panduan keselamatan eskalator tangga bergerak


Semasa Menaiki Eskalator

  • Pastikan anda kekal berada di dalam petak garisan kuning. Pastikan jarak di antara kasut atau selipar dengan bahagian tepi eskalator.
  • Pandang ke hadapan dan pegang pada selusur tangan eskalator untuk keseimbangan.
  • Pegang tangan kanak-kanak. Larang kanak-kanak daripada memegang susur tangan kerana pergerakkannya yang laju boleh mengejutkan mereka.
  • Awasi kanak-kanak setiap kali menaiki eskalator. Jangan benarkan mereka bermain, bersandar, memanjat atau menunggang pada selusur tangga bergerak.
  • Pastikan tali kasut atau pakaian yang labuh tidak menyentuh lantai atau sisi eskalator.
  • Berdiri di sebelah kiri dan beri ruang kepada pengguna yang sedang bergegas berjalan di sebelah kanan.


Semasa Keluar Dari Eskalator

  • Jangan teragak-agak dan melangkah keluar dengan segera.
  • Pastikan anda melangkah melepasi jari sesikat (comb plate). Membiarkan kaki anda menggelongsor di atas comb plate boleh menyebabkan kasut tersepit.

    selipar tersepit di eskalator

  • Segera beredar terus dari kawasan eskalator. Jangan berhenti di laluan keluar eskalator untuk bercakap-cakap atau melihat sekeliling kerana ia akan menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain di belakang.

Semoga garis panduan keselamatan di atas dapat membantu anda dan keluarga kekal selamat semasa menggunakan eskalator / walkalator.

1 comment :

  1. Panduan ini sangat penting dididik pada semua peringkat umur. Sewajarnya semua tempat yang mempunyai eskalator turut bekerjasama menampal notis peringkat panduan ini di kawasan terhampir dengan mesin tersebut. Jangan kerana ingin nampak cantik, faktor preventing tidak dititikberatkan.

    ReplyDelete

Arkib
Click to go to top