Punca, Tanda dan Pencegahan Gout

February 17, 2017 |

Gout merupakan satu penyakit yang banyak menyerang rakyat Malaysia, terutama kaum lelaki dalam lingkungan umur 40-an ke atas. Bilangannya semakin meningkat akibat obesiti dan faktor-faktor gaya hidup lain.


Apa Itu Penyakit Gout

Gout adalah salah satu bentuk penyakit artritis (radang sendi) yang paling menyakitkan, malah ia merupakan artritis kedua paling biasa selepas osteoartritis. Gout menyebabkan penghidapnya mengalami kesakitan yang amat sangat dan hilang upaya untuk bergerak.


Bagaimana Gout Berlaku?

Bahan buangan badan, iaitu asid urik, berkumpul dalam bentuk kristal seperti jarum yang menyucuk pada sendi-sendi dan/atau tisu-tisu lembut. Kristal asid urik  menyebabkan bengkak berjeda, kemerah-merahan, panas, sakit dan kaku pada sendi.

Dalam kebanyakan kes, gout mula-mula menjejaskan ibu kaki (keadaan yang dipanggil podagra). Tetapi banyak sendi lain dan kawasan di sekeliling sendi boleh terkesan selain daripada ibu kaki. Ini termasuklah kekura kaki, buku lali, tumit, lutut, pergelangan tangan, jari-jari dan siku.

punca, tanda, simptom, gejala, pantang, petua dan pencegahan penyakit gout


Tanda-tanda Penyakit Gout

Di antara simptom-simptom penyakit gout ialah:

  • Rasa panas. sakit, bengkak dan nyeri yang amiat sangat pada sendi, selalunya pada sendi ibu kaki. Simptom ini dipanggil podagra. Kesakitan itu selalunya bermula pada waktu malam. Ia  mungkin menjadi semakin teruk dengan cepat selama beberapa jam dan tersangat sakit, sehinggakan tekanan yang sedikit pun daripada selimut tidak tertahan.
  • Kulit sangat merah atau kebiru-biruan di sekeliling sendi yang terjejas. Sendi nampak seolah-olah terkena jangkitan.
  • Pergerakan terhad pada sendi yang terlibat.
  • Kulit mengelupas dan gatal di sekeliling sendi yang terjejas apabila gout semakin sembuh.

Walau bagaimanapun, sesetengah simptom mungkin berbeza. Sesetengah orang tidak mengalami gout sebagai sesuatu yang menyakitkan, malah mereka menghidapi gout hampir sepanjang masa (juga dikenali sebagai "gout kronik"). Gout pada orang dewasaa mungkin kurang menyakitkan dan mungkin terkeliru dengan artritis jenis lain.

Gout boleh menyebabkan keradangan pada pundi cecair (bursae) yang melindungi tisu, terutamanya pada siku (olecranon bursitis) dan lutut (prepatellar bursitis) serta menjejaskan sendi kaki, buku lali, Iutut, pergelangan tangan, jari dan siku.

Simptom juga boleh berlaku selepas sakit atau pembedahan; ia mungkin muncul pada mulanya sebagai nodul (tophi) pada tangan, siku atau telinga. Anda mungkin tidak mempunyai sebarang simptom klasik serangan gout.


Punca-punca Penyakit Gout

Di antara faktor-faktor risiko gout adalah:

  • Mempunyai ahli keluarga yang juga menghidapi gout  (gout selalunya diwarisi keluarga). Faktor genetik ini memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan risiko seseorang mendapat gout
  • Umur dan jantina: gout lebih banyak dihidapi apabila  umur semakin meningkat dan tiga hingga empat  kali lebih tinggi kemungkinannya di kalangan lelaki. Ini adalah kerana hormon wanita, estrogen, yang dikeluarkan semasa kitaran reproduktif wanita mengurangkan tahap asid urik dengan meningkatkan pengumuhan asid urik melalui buah pinggang.
  • Selepas seseorang wanita itu putus haid, tahap asid urik meningkat dan mereka juga berkemungkinan; terkena gout.
  • Lebih berat badan.
  • Menghidapi penyakit darah tinggi atau diabetes.
  • Mempunyai masalah buah pinggang jangka panjang yang mengurangkan pembuangan asid urik.
  • Mengambil makanan yang kaya dengan purina seperti ikan sardin, bilis, mackerel & tuna, organ dalaman haiwan dan daging.
  • Minuman beralkohol kerana ia mempunyai kandungan purina yang tinggi. Bir dan minuman alkohol berat telah lama diketahui meningkatkan risiko gout. Wain juga menyumbang kepada serangan gout yang berulang.
  • Mempunyai kerosakan enzim yang menyukarkan tubuh memecahkan purina.
  • Terdedah kepada plumbum dalam persekitaran
  • Pernah menjalani pemindahan organ.
  • Menggunakan ubat-ubatan seperti diuretik, aspirin, cyclosporine atau levodopa.
  • Mengambil vitamin niasin.


Bagaimana Mencegah Gout?

Apa yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko gout:

  • Elakkan pengambilan alkohol dan banyakkan minum air kosong. Air kosong membantu mengeluarkan asid urik daripada badan, manakala alkohol pula boleh meningkatkan tahap asid urik di dalam darah anda.
  • Selalu bersenam dan kekalkan berat badan yang sihat. Kurangkan berat badan secara sihat sekiranya berat badan anda berlebihan. Elakkan diet rendah karbohidrat yang direka untuk menghilangkan berat badan dengan cepat, kerana ia boleh menyebabkan ketosis, yang mana akan meningkatkan tahap asid urik di dalam darah anda.
  • Elakkan makanan dan minuman manis, dan juga makanan terproses.
  • Elakkan memakan daging merah, makanan laut kecuali ikan berisi putih, buahan berasid seperti tomato dan durian.
  • Juga elakkan makanan yang tinggi purina.
Arkib
Click to go to top