Panduan Pemakanan Pesakit Diabetes

August 07, 2017 |

Pesakit kencing manis perlu menjaga dan mengawal pemakanan untuk mengelakkan peningkatan paras gula dalam darah.

Makanan yang meningkatkan paras gula darah ialah makanan berkarbohidrat (dalam tubuh manusia, karbohidrat akan dicernakan dan diserap sebagai gula). jadi adalah penting untuk pesakit diabetes mengawal pengambilan karbohidrat.

Berikut adalan panduan pemakanan (diet plan) bagi pesakit kencing manis (diabetes).


Mengapa perlunya amalan pemakanan yang baik?

  • Untuk memperolehi zat-zat makanan yang perlu untuk mencapai kesihatan yang unggul.
  • Untuk mengawal paras gula dalam darah.
  • Untuk mencapai dan mengekalkan berat badan yang sesuai.
  • Untuk mengelak atau melambatkan pengidapan kesan komplikasi diabetes seperti penyakit buah pinggang dan sakit jantung.


Panduan merancang makanan harian

  • Waktu makan yang teratur: sarapan pagi, makan tengahari, makan malam, snek.
  • Pilih jenis makanan yang sesuai: makanan dielakkan/diminimumkan, makanan bebas, makanan yang perlu dikawal
  • Kurangkan makanan yang tinggi lemak, kolesterol dan garam.


MAKANAN YANG PATUT DIELAKKAN/DIMINIMUMKAN

Rasional:

Makanan ini mengandungi karbohidrat ringkas (gula ringkas) yang akan meningkatkan aras glukosa darah dengan kadar yang cepat.

Senarai makanan yang patut dielakkan atau diminimumkan pengambilannya:

  • Gula putih, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, glukosa
  • Madu, jem, kaya, susu pekat manis, sirap.
  • Minuman ringan, minuman kordial
  • Biskut manis, roti manis, kuih manis, kek, aiskrim, coklat
  • Air tebu, air kelapa muda, minuman—minuman yang ditambah gula


MAKANAN YANG PERLU DIKAWAL PENGAMBILANNYA

» Bijirin dan sayuran berkanji

Rasional:

  • Bijirin dan sayuran berkanji mengandungi karbohidrat kompleks ( gula kompleks) yang diperlukan sebagai sumber tenaga tubuh dan membekalkan vitamin dan juga mineral.
  • Walau bagaimanapun pengambilan yang berlebihan akan meningkatkan aras glukosa darah.
  • Jumlah pengambilan sehariannya perlulah dibahagiratakan untuk setiap hidangan makanan.
  • Pilihlah bijirin yang tinggi serat (fiber). Contohnya roti penuh mil, nasi perang, oat, biskut penuh mil dll.

Pengambilan bijirin/sayuran berkanji

  • Setiap hidangan utama (sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam): 3 unit karbohidrat
  • Setiap hidangan snek (minum petang, minum malam): 1 unit karbohidrat

Berikut adalah contoh-contoh saiz portion bijirin/sayuran berkanji untuk satu unit karbohidrat. Setiap unit membekalkan 15g karbohidrat:

  • ½ cawan atau ⅓ mangkuk cina nasi/ kuey teow/ bihun/ mee
  • 1 keping roti/ iddli 
  • 3 keping biskut cracker (tawar)
  • 1 cawan bubur nasi/labu
  • ½ keping capati / tosei
  • 3 sudu makan oat (mentah)
  • 1 ubi kentang kecil (75g)
  • ½ cawan jagung/ pea/ ubi-ubian
  • ⅓ cawan kacang panggang/ kacang dhal

» Buah-buahan

Rasional:

  • Makanan ini mengandungi karbohidrat ringkas (gula ringkas) yang akan meningkatkan aras glukosa darah dengan kadar yang lebih cepat.
  • Walaubagaimanapun pengambilan diperlukan sebagai sumber serat (fiber), vitamin, mineral serta antioksidan.
  • Elakkan pengambilan buah-buahan semasa perut kosong.
  • Pengambilan buah disarankan diambil sejurus selepas hidangan utama, dihadkan kepada 1 hidangan sahaja. 
  • Maksimum 2 hidangan buah untuk sehari.

Berikut adalah contoh-contoh saiz portion buah untuk satu unit karbohidrat. Setiap unit membekalkan 15g karbohidrat:

  • 1 biji sederhana epal/ oren/ belimbing/ pear
  • 1 potong nipis betik/ nenas/  tembikai susu
  • ½ biji jambu batu/ mangga kecil
  • 5 biji sederhana rambutan/ laici
  • 2 biji manggis/ jambu air/ kedondong/ kurma
  • 8-10 biji kecil langsat/ duku/ anggur/ longan
  • 2-3 ulas sederhana cempedak/ durian/ nangka

» Susu dan hasil tenusu

Rasional:

  • Makanan ini mengandungi karbohidrat ringkas (gula ringkas) yang akan meningkatkan aras glukosa darah dengan kadar yang lebih cepat.
  • Walaubagaimanapun pengambilan diperlukan sebagai sumber kalsium, protein, vitamin dan mineral.
  • Pilihlah susu yang rendah lemak atau tanpa lemak.
  • Maksimum 2 hidangan susu untuk sehari.

Berikut adalah contoh-contoh saiz portion susu untuk satu unit karbohidrat. Setiap unit membekalkan 10-15g karbohidrat:

  • 1 cawan susu (240ml)
  • 4 sudu makan susu tepung
  • ¾ cawan yoghurt


MAKANAN BEBAS

Rasional:

Makanan ini tidak mengandungi karbohidrat/gula ringkas dan tidak akan mempengaruhi paras glukosa darah.

Senarai makanan yang bebas dimakan/minum:

  • Minuman: air (panas/sejuk), kopi/teh O tanpa gula, sup cair
  • Sayur-sayuran: semua jenis sayur/ ulam contohnya sawi, kobis, bayam, kailan, kacang panjang, kacang bendi, daun salad, bunga kobis, peria, pucuk paku, tomato, dll.
  • Perasa dan perencah: bawang putih/merah, halia, cuka, serai, daun pandan, serbuk kari, cili, herba, akar kayu, kunyit dll.

Semoga panduan pemakanan pesakit kencing manis di atas memberi manfaat kepada para pembaca khususnya buat pesakit diabetes.

Sumber: Portal MyHealth

Arkib
Click to go to top