Cara Membentuk Sikap Positif Anak-anak

September 13, 2017 |

Kejayaan dan kegagalan anak-anak kita sama ada dalam pelajaran, pekerjaan malah kehidupan banyak bergantung kepada sikap mereka. Anak-anak yang mempunyai sikap yang positif akan lebih berjaya dan mampu bersaing berbanding mereka yang bersikap negatif. Dari mana datangnya sikap? Sikap datangnya dari rumah. ibu bapalah yang bertanggungjawab membentuk sikap anak-anak. Tidak dinafikan faktor pergaulan, guru, pembacaan, pengalaman dan sebagainya turut membentuk sikap. Namun, ibu bapa, sebagai orang yang terawal mendidik dan membesarkan anak-anak merupakan orang yang paling penting menyumbang kepada pembentukan sikap anak-anak mereka.


6 Amalan Ibu Bapa Yang Membentuk Anak Positif

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diketahui dan dilakukan untuk membentuk sikap positif dalam diri anak-anak:


1. Apa yang kita buat anak tengok dan anak ikut

Lapan puluh peratus didikan datangnya daripada mata, 20 peratus sahaja daripada telinga. Anak-anak lebih percaya apa yang mereka lihat berbanding apa yang ibu bapa mereka cakap. Oleh itu, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dalam mengamalkan nilai-nilai murni dan bersikap positif. Jika mahu anak-anak rajin, ibu bapa mesti rajin dahulu. Mahukan anak-anak yang berpegang pada janji, ibu bapa perlu tunaikan setiap janji mereka pada anak-anak dahulu. Mahukan anak-anak menjaga solat lima waktu dan solat di awal waktu? Ibu bapalah yang mesti menjadi contoh dahulu. Apa yang ibu bapa lakukan, dan anak-anak nampak, mereka ikut. Oleh itu, usah pandang remeh tingkah laku dan reaksi kita setiap hari apabila anak-anak ada di depan mata.

bentuk anak positif


2. Bebelan positif

Setiap percakapan yang diulang-ulang, akan terakam dalam minda. Apa yang  dirakam dan dipercayai akan membentuk sikap dan tingkah laku anak. Kalau kita lihat, sesuatu produk yang  mahu diperkenalkan dalam pasaran, akan diiklankan dalam media samada TV, radio, internet, majalah dan akhbar. Tujuannya bagi memastikan iklan tersebut dilihat dan didengar berkali-kali oleh pelanggan yang berpotensi. Samada mereka percaya atau tidak dengan apa yang diiklankan itu tidak penting, yang penting minda bakal pembeli sudah pun dipengaruhi dengan iklan yang bertalu-talu itu. Akhirnya, jenama itu menjadi lazim dalam minda. Minda mula menerima. Minda mula percaya dan keputusan membeli dilakukan.

Bebelan juga begitu. Apa yang ibu bapa cakapkan itu tidak semestinya anak-anak percaya. Tetapi, ia perlu terus dicakapkan, sehingga akhirnya minda menerimanya sebagai betul lalu percaya. Tetapi bebelan perlu menggunakan ayat- ayat positif. Jika bebelan menggunakan ayat-ayat negatif, perubahan diri anak tidak akan berlaku.

Lihat contoh di bawah:

✕ "Emak tidak mahu tengok kamu campak baju merata- rata lagi." (Negatif dan salah)

✓ "Emak mahu tengok kamu masukkan baju dalam bakul yang disediakan." (Positif dan betul)

✕ "Kenapa asyik tidak siap kerja sekolah ni, nakjadi apa?" (Negatif dan salah) 

✓ "Baik, siapkan kerja sekolah sekarang, besar nanti jadi orang berguna." (Positif dan betul)


3. Kata-kata pada emosi yang tinggi

Siapakah guru yang paling anda ingat? Pastilah guru yang paling garang, atau yang pernah denda anda dengan teruk, atau yang paling ambil berat. Satu perkara yang sama ialah, semua guru-guru ini sukar dilupakan sebab ada kaitan emosi antara mereka dengan peristiwa yang berlaku. Sesuatu peristiwa yang dirakam oleh minda pada emosi yang berintensiti tinggi akan terus kekal dalam minda bawah sedar. Meskipun peristiwa tersebut hanya berlaku sekali sahaja seumur hidup.

Misalnya, kita tidak mungkin dapat lupakan peristiwa guru marah kerana kerja sekolah tidak siap lalu disuruh berdiri atas kerusi. Ada dua emosi penting di situ iaitu marah seorang guru dan malu kita. Marah dan malu adalah emosi ,yang berintensiti tinggi. Selain itu, emosi seperti cemburu, menyampah, sedih, sayang dan sakit juga berintensiti tinggi. 

Oleh sebab itu, ibu bapa perlu gunakan emosi yang berintensiti tinggi ini untuk membentuk sikap anak-anak. Kalau selalu marah ia menjadi biasa. Sebaliknya kalau sesekali marah yang sungguh-sungguh marah, ia menjadi luarbiasa dan mudah dirakam apa yang disampaikan itu ke dalam minda. Ibu bapa perlu bijak memilih situasi dan emosi agar apa yang dismpaikan itu akan diingat oleh anak dan membentu cara fikir dan sikap mereka.


4. Makanan yang diberikan

Hati-hati dengan makanan yang diberikan kepada anak-anak sebab makanan ada kaitannya dengan tingkah laku. Allah SWT berfirman: "Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (AI-Baqarah 2: 172)

Jelas sekali Allah menyuruh kita mencari makanan yang halal lagi baik. Halal dari segi kandungannya dan sumber datangnya rezeki itu, baik dari segi manfaatnya kepada kesihatan tubuh badan kita sebagai manusia. Juga baik dari segi pembentukan hati dan akhlak kita. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, dan hak seorang anak untuk mendapatkan makanan yang halal lagi baik itu.


5. Didik anak dengan adab

Adab dan sunnah membentuk jiwa anak yang halus. Iaitu jiwa yang peka akan keadaan sekeliling, perasaan orang lain, tanggungjawab dan rasa hormat. Adat-adat Melayu yang positif dan amalan Nabi SAW banyak impak positifnya dalam jiwa anak-anak. Perlakuan seperti tidak menyampuk cakap orang tua, tunduk dan minta izin untuk lalu di depan orang lain, menghulurkan dan mencium tangan orang tua serta memberi salam dan menjawab salam, dan banyak lagi merupakan perlakuan yang mampu membentuk sikap positif anak. Oleh itu, mulalah hidupkan semula amalan dan sunnah ini di rumah, ia akan melahirkan generasi yang tinggi budi bahasa dan santunnya. Ketinggian budi dan kesantunan ini adalah kekuatan bukannya kelemahan. Ia melahirkan anak-anak yang memiliki kemahiran sosial yang tinggi.


6. Doa ibu bapa

Perkara terakhir yang sama pentingnya dalam membentuk sikap positif dalam  diri anak-anak ialah doa kedua-dua ibu bapa. Doa yang ringkas dan mudah ialah doa Nabi ibrahim a.s. sepertimana yang dinyatakan dalam al-Quran: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (As—Saffat 37: 100)

Insya-Allah, dengan doa yang berterusan dan keyakinan yang tinggi bahawa Allah pasti memakbulkan doa itu, maka akan lahirlah anak-anak yang positif sikapnya.

Arkib
Click to go to top