Petua Untuk Mendapatkan Bayi Sihat

September 09, 2017 |

Bayi yang sihat dan comel merupakan impian setiap bakal ibu bapa. Pelbagai usaha dibuat untuk memastikan bayi dan ibu sihat dan selamat. Selain mengguna pakai perubatan moden, petua dari orang-orang tua yang kaya dengan pengalaman juga boleh dipertimbangkan.

Berikut adalah petua dan amalan turun temurun perubatan tradisional Melayu untuk bakal ibu bagi melahirkan bayi yang sihat.

bayi sihat


Cara Tradisional Untuk Mendapatkan Bayi Yang Sihat

Mungkin bukan semua petua di bawah boleh dipakai di zaman ini. Yang sesuai kita amalkan, yang tidak sesuai kita abaikan.

  1. Bagi ibu yang mula hamil hendaklah menerima proses mengandung dengan rasa senang hati, reda dengan anugerah yang diberi Tuhan.
  2. Suami harus menghormati perasaan isterinya. kerana perempuan yang mengandung perlukan banyak perhatian. Perhatian yang lebih dari suami boleh mengembirakan isteri. Anak yang dikandung akan melalui proses yang cukup sihat.
  3. Pada bulan pertama hingga ketiga jangan mengadakan hubungan kelamin dengan kerap. Jika boleh berhentikan hubungan kelamin sementara waktu.
  4. Perasaan harus dijaga selalu, jangan terlalu bimbang dan jangan terkejut, jika perasaan menguasai ibu yang mengandung mungkin ibu tersebut akan mengalami keguguran.
  5. Bagi ibu yang mula hamil, jangan makan makanan yang berbisa seperti ikan sembilang, ikan pari, nenas dan tapai.
  6. Jangan duduk di muka pintu, kerana menurut orang tua-tua, duduk di muka pintu boleh menyebabkan orang yang mengandung sukar melahirkan anak.
  7. Makan makanan yang berkhasiat, ikan yang tidak berbisa, sayur yang berdaun hijau dan buah-buahan.
  8. Makan telur ayam kampung sebiji sehari untuk menambah kesihatan ibu dan anak.
  9. Menyedut udara bersih setiap pagi akan menyuburkan anak dalam kandungan dan menyihatkan ibu yang mengandung.
  10. Ibu yang mengandung harus mengawal perasaannya jangan terkejut melihat perkara-perkara yang ganjil. Kerana perasaan yang ganjil ini boleh menyebabkan anak dalam kandungan terkena penyakit kenan.
  11. Tidurlah dan berehat dengan cukup setiap hari.
  12. Bila sudah sampai bulan untuk melahirkan anak, ibu harus banyak berdiri agar bayi senang keluar bila tiba masa untuk bersalin.
  13. Berjalan-jalanlah di tanah lapang selama setengah atau satu jam setiap hari. Ia merupakan cara yang terbaik untuk ibu agar mudah melahirkan anak.
  14. Minum banyak air, lebihkurang enam atau tujuh gelas sehari menambahkan kesegaran ibu yang hamil dan memudahkan ibu-ibu melahirkan anak.
  15. Jagalah hubungan suami isteri agar tenteram. Kemesraan yang lebih dari suami boleh menguatkan jiwa isteri dalam saat-saat yang dia melahirkan anak.
  16. Semangat dan rangsangan dari suami banyak membantu isteri itu berasa gembira. Kegembiraan ini akan mempengaruhi bayi dalam kandungan.
  17. Jika ibu inginkan seorang anak lelaki cubalah banyakkan makan kerang rebus.

Diharap panduan dan petua mendapatkan bayi sihat di atas bermanfaat buat bakal ibu.

Sumber: Buku "Petua Dan Perubatan Tradisional Melayu"

Arkib
Click to go to top