Tip Meningkatkan Penghasilan Susu Ibu

November 16, 2017 | |   0 comments

Kebiasaannya ibu yang melahirkan anak pertama menjadi risau kerana merasakan susu yang dihasilkan tidak memenuhi keperluan bayi. Kerisauan tersebut biasanya disebabkan melihat karenah bayi yang kerap menyusu seolah-olah tidak puas dan tidak mengenyangkan.

Perlu diingatkan setiap individu memberikan hasil yang berbeza kerana penghasilan susu ibu berkait rapat dengan hormon dalam badan. Penghasilannya tidak sama antara seorang ibu dengan ibu yang lain.


Petua Banyakkan Susu Badan

Berikut adalah beberapa tip atau petua untuk menambah susu badan bagi para ibu yang menyusukan bayi.

  1. Susukan Sekerap Sejam Sekali

    Kebiasaannya bayi baru lahir akan menyusu sekerap setengah hingga sejam sekali. Namun ada gaga bayi yang suka tidur berbanding menyusu . lbu perlu mengejutkan bayi untuk menyusu sekali gus memastikan bayi menyusu dengan cekap setiap kali menyusu. Apabila susu dikeluarkan dengan cekap, penghasilan susu akan berjalan lancar.

  2. Memerah Dengan Lebih Kerap

    Sekiranya selepas melahirkan bayi, ibu terpaksa berpisah sementara atas sebab kesihatan bayi, ibu perlu memulakan sesi memerah seawal mungkin bagi merangsang penghasilan susu. Susu perahan hendaklah diberikan melalui tiub, sudu atau cawan bagi mengelakkan bayi keliru puting. Dalam situasi ibu bekerja pula, ibu perlu mengatur jadual memerah sekerap dua hingga tiga jam sekali dengan tempoh masa antara 15 hingga 30 minit untuk setiap sesi.

  3. Memerah Sebelah Menyusu Sebelah

    Teknik memerah semasa menyusukan bayi boleh dilakukan kerana rangsangan hisapan bayi pada sebelah payudara akan merangsang pengeluaran susu pada payudara yang lain. Walaupun teknik ini pada awalnya menyebabkan rasa kekok, namun setelah dipraktikkan ibu akan memperoleh posisi yang selesa untuk melakukannya.

  4. Memerah Menggunakan Teknik Double Pump

    Pemiiihan alat memerah yang boleh memerah kedua-dua payudara serentak juga membantu meningkatkan penghasilan susu. Dengan menggunakan double pump, otak mendapat signal seolah-olah ibu menyusukan bayi kembar. Penghasilan susu boleh meningkat walaupun kuantitinya tidak sekali ganda namun ia masih menampung keperluan anak. Double pump juga menjimatkan masa memerah, terutama kepada ibu yang sentiasa sibuk sewaktu bekerja.

  5. Memerah Antara Jam 1-6 Pagi

    Hormon Prolaktin ialah hormon yang menghasilkan susu di paras tertinggi pada waktu malam. Dengan mengatur sesi memerah antara jam 1 sehingga 6 pagi, ia boleh membantu meningkatkan penghasilan susu. Sebelum sesi memerah diaturkan, tambah kekerapan menyusukan bayi terlebih dahulu kerana rangsangan daripada bayi lebih hebat daripada peralatan.

    Banyakkan susu badan ibu

  6. Memerah Selepas Menyusukan Bayi

    Bukan hasil yang ingin diperolehi, sebaliknya ia adalah untuk menghantar signal ke otak supaya memberi arahan agar susu dihasilkan dengan lebih banyak.

  7. Memerah Sebelum Menyusukan Bayi

    Perlu melihat juga kepada corak penyusuan bayi kerana terdapat bayi yang tidak selesa kerana menunggu lama susu dikeluarkan. Ada ibu yang risau akan bayi yang tidak mendapat susu yang mencukupi selepas diperah. Tetapi perlu diketahui hisapan bayi mampu mengeluarkan susu yang paling dalam.

  8. Gunakan Teknik Power Pumping

    Power pumping (PP) ialah teknik memerah yang bertujuan meniru mirip bayi yang sedang menghadapi growth spurt iaitu keadaan apabila bayi menyusu lebih kerap daripada biasa. Growth spurt selalunya berlaku ketika umur bayi antara 4 hingga 6 bulan. Teknik ini membantu meningkatkan susu ibu mengikut badan masing-masing.

  9. Makanan Penggalak Susu

    Terdapat makanan yang dipercayai boleh membantu meningkatkan penghasilan susu. Namun perlu diingat, konsep penyusuan supply and demand perlu dipatuhi terlebih dahulu. Pilih makanan yang sihat serta elakkan daripada mengambil pil supplemen tertentu sebelum mendapatkan nasihat daripada pakar atau kaunselor laktasi.


Kaedah Power Pumping

  • Single pump
    1. Perah 10 minit sebelah kanan.
    2. Perah 10 minit sebelah kiri.
    3. Kembali memerah di sebelah kanan selama 10 minit dan lakukan seterusnya bergilir-gilir sehingga satu jam.
  • Double pump
    1. Perah kedua-dua belah payudara selama 10 minit.
    2. Berehat 10 minit.
    3. Ulangi langkah 1 dan 2 sehingga jumlah masa memerah cukup satu jam.

Semoga panduan meningkatkan susu badan ini memberi manfaat buat para ibu yang mengamalkan penyusuan badan.

No comments :

Post a Comment

Arkib
Click to go to top