Kencing Tikus (Leptospirosis): Punca, Tanda, Rawatan Dan Pencegahan
Penyakit Kencing Tikus atau nama sainsnya Leptospirosis ialah sejenis penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia (penyakit zoonosis). Penyakit ini berpunca oleh bakteria spirochaete dari genus Leptospira. Jika tidak dirawat segera, penyakit Kencing Tikus boleh membawa maut.
Cara Dan Punca Jangkitan
- Bakteria mi terdapat di dalam air kencing haiwan yang terjangkit seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, babi, kuda dan haiwan liar yang lain.
- Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada air, makanan atau tanah lembab yang dicemari dengan air kencing haiwan yang mengandungi bakteria Leptospira.
- Bakteria Leptospira juga boleh memasuki tubuh manusia melalui luka atau kudis di kulit dan lapisan mukosa seperti selaput mata dan lapisan dalam mulut.
Tanda Dan Gejala Penyakit Kencing Tikus
Tanda dan gejala penyakit kencing tikus muncul dalam tempoh 2 -10 hari (adakalanya sehingga 30 hari) dari masa terdedah kepada jangkitan.
Antara simptom dan gejala tersebut adalah:
- Demam yang tinggi
- Sakit kepala
- Menggigil (chills)
- Sakit otot
- Muntah
- Jaundis (penyakit kuning)
- Radang mata
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Batuk
- Ruam di kulit
SEGERA DAPATKAN RAWATAN jika mengalami tanda dan gejala penyakit ini dalam tempoh 2 minggu selepas mengunjungi tempat-tempat rekreasi atau berkelah.
Rawatan
Penyakit kencing tikus boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik. Rawatan awal dengan antibiotik dapat mengelakkan komplikasi dan kematian.
Golongan Berisiko
Berikut adalah golongan yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit kencing tikus:
- Pengunjung tempat rekreasi atau perkelahan
- Pemburu
- Kaki pancing
- Petani / pesawah /peladang
- Penternak
- Pekerja veterinar
- Pekerja penyelenggaraan perparitan dan pembetungan
- Pekerja dan pelanggan premis makanan yang kotor
Pencegahan
Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah penyakit kencing tikus:
- Elakkan aktiviti rekreasi air semasa dan selepas hujan atau pada musim banjir
- Elakkan bermain atau mandi di sungai atau kolam jika ada luka atau kudis
- Pekerja berisiko perlu memakai kasut but dan sarung tangan getah
- Tampal luka dan kudis dengan plaster yang kalis air jika terpaksa bersentuhan dengan air
- Elakkan minum air sungai / kolam yang tidak dimasak
- Elakkan premis makanan yang kotor
- Jaga kebersihan kawasan tempat rekreasi atau berkelah
- Buang sampah sarap dan sisa makanan secara sempurna
- Basuh tangan dan kaki dengan air dan sabun selepas aktiviti rekreasi air
Semoga maklumat mengenai punca, tanda, gejala, rawatan dan pencegahan penyakit Kencing Tikus ini bermanfaat buat pembaca.
Sumber: Risalah Penyakit Kencing Tikus (Leptospirosis) dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan
dulu kita kecik2 kalau hujan segala lopak air berkubang.yelah budak kampung.mandi sungai, main kat bendang, pancing ikan kat tali air.. tak pernah dengar penyakit kencing tikus. Penyakit akhir zaman ni macam2 kan tapi semua yg berlaku adalah di sebabkan manusia tu sendiri yang melakukan kerosakkan
ReplyDeleteTerlalu banyak tempat kotor mungkin punca utama berlaku masalah kencing tikus. Kurang kesedaran tentang kebersihan dan tabiat suka membuang sampah merata-rata adalah budaya yang tidak elok. Akibatnya generasi demi generasi kena tanggung akibatnya. Nasihat saya pada diri saya sendiri...
ReplyDeletethanks dah share info seputar penyakit kencing tikus, sangat berguna. Penyakit ini nampaknya harus butuh perhatian ya
ReplyDelete